Sinopsis Hilang (drama)

Mengisahkan tentang dua adik-beradik yang begitu akrab iaitu Salina (Rozita Che Wan) dan Salimah (Ayu Raudhah). Salina dan Azrul (Zul Ariffin) merupakan pasangan kekasih yang akhirnya melangsungkan perkahwinan. Walaupun sudah berkahwin, Salina semakin hilang kepercayaan terhadap suaminya. Ini disebabkan Azrul sering sahaja diganggu oleh setiausahanya, Malina (Julia Ziegler). Salina bimbang jika Azrul suatu hari nanti akan tergoda dengan pujuk rayu Malina.

Salina akhirnya mengandung dan ini memberi berita gembira untuk seluruh ahli keluarganya namun tidak bagi Malina yang mempunyai perasaan sebaliknya. Ketika kandungan Salina mencecah 7 bulan, Salina terbabit di dalam satu kemalangan selepas pulang dari bersiar-siar bersama Azrul. Akibat kemalangan tersebut, Salina hilang ingatan dan anak di dalam kandungannya terpaksa dikeluarkan tidak cukup bulan. Setelah keadaan Salina pulih, dia dimasukkan ke dalam wad mental.

Peristiwa ini memberi tekanan kepada Azrul. Namun Azrul bernasib baik mempunyai Fauziah, ibu mertuanya dan juga Salimah yang sanggup membantunya menguruskan anaknya yang "kehilangan" ibu itu. Fauziah amat bersyukur kerana Salimah sanggup menjaga Rina (Mia Sara) anak kakaknya itu. Fauziah menyuarakan hasrat hatinya untuk mengahwinkan Salimah dengan Azrul. Salimah yang sudah mempunyai teman lelaki, terpaksa mengorbankan cintanya demi kakak tersayang. Tindakan Salimah ini membuatkan Malina semakin berdendam kerana usahanya untuk memikat dan menggoda Azrul tidak berjaya.

Ingatan Salina akhirnya pulih. Ini memberi perkhabaran gembira buat seluruh anggota keluarganya. Namun, pada masa yang sama mereka bimbang kerana tidak tahu bagaimana hendak menerangkan kepada Salina keadaan terkini keluarga mereka.